Wednesday, July 11, 2012

Jikan Pailang



"Good morning Abdul Jikan!"sayup sayup kedengaran suara Ahmad Azlan dari belakang.

"Selamat pagi. Kau apahal dok berspeaking speaking dengan aku pagi pagi buta ni? Bukankah bahasa melayu tu bahasa jiwa bangsa?" balas Abdul Jikan dengan penuh konfiden dan riak wajah sedikit bongkak.

     Ahmad Azlan hanya mendiamkan diri, tersengih. Apa palat lah budak Abdul Jikan ni tiba tiba semangat bahasa jiwa bangsa dia bukan main pagi pagi ni, fikirnya.

"Apa apa lah Abdul Jikan. Ni, aku nak ajak kau lepak gerai bawah. Breakfast. Eh, salah. Sarapan pagi."kata Ahmad Azlan.

     Abdul Jikan tersenyum. Power jugak aku basuh budak ni, sekali ajar terus menurut. Teringat dia kenangan dulu di sekolah asrama zaman kegemilangan dia membasuh junior junior yang kurang adab menghormati senior. Cakap je abang Jikan Pailang panggil, nescaya terketar ketarlah mana mana junior sekalipun. Memang pailang habis. Tapi itu dulu, ketika zaman budak mentah tak fikirkan masa depan. Dia dah tinggalkan zaman itu, zaman jiwa rebel sekolah menengah, atau zaman gemilang sebagai kutu remaja berambut rock bermain gitar di bahu simpang. Sekarang Abdul Jikan seorang pemuda berwawasan, berkerjaya. Dia bukan Jikan Pailang lagi, dia sekarang Abdul Jikan, seorang kerani teknikal di syarikat perauditan terkemuka. Peh, kerani teknikal wei. Kalau borak dengan orang kampung nya di Segamat semua kagum dengar perkataan teknikal tu. Yang makcik makcik semuanya berebut nak jadikan menantu, Abdul Jikan buat rilek je sebab anak diorang tak cun.

"Iyalah Ahmad Azlan. Aku pun ada masa 30 minit sebelum mesyuarat penting department sekejap lagi," kata Abdul Jikan.

"Hah! Tu kau guna perkataan department! Kata semangat bahasa jiwa bangsa sangat tapi curik perkataan omputih jugak!," laju Ahmad Azlan bertutur, nampak sangat tak sabar lepas dapat point. Gelojoh.

"Aish. Mana aku tahu apa perkataan melayu untuk department, bodoh. Takkan aku nak selak kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pulak," Abdul Jikan buat buat malas layan perangai sahabatnya itu, padahal dalam hatinya malu tak terkata.


***


"Thanks so much Anney! " Ahmad Azlan mengucapkan terima kasih kepada mamak bertubuh gempal yang baru menghidangkan dua pinggan roti canai ke atas meja. Dia perasan Abdul Jikan mengerling kearahnya tapi dia buat muka cool, tu nak membebel macam abah dia tukang cipta bahasa melayu lagi lah tu, fikirnya.

"Sama sama. Bon Appetit!" Ujar mamak itu dengan pekat slanga india sebelum beredar meninggalkan Ahmad Azlan dan Abdul Jikan. Kagum juga diri masing masing bila mamak tu berbahasa perancis dengan mereka. Nak balas balik apa pun tidak tahu.

     Laju Abdul Jikan meratah dan menghayati kelazatan roti canai rangup itu. Peh, memang inilah roti canai terbaik yang ada di Kuala Lumpur. Entah mamak mana lah diorang import nak buat roti canai ni. Abdul Jikan percaya, kemungkinan besar mamak ini datang dari area india utara. Sebab kalau tak silap india utara lebih maju dan exposed kepada arus permodenan, Abdul Jikan menganalisa penuh yakin. Ini antara fakta yang diketahui hasil tontonan slot favouritenya Panggung Sabtu setiap hujung minggu. Ada sekali Faizal Abu Samah budak baru masuk menyewa seminggu di starlight sedas tepat ke dahi, semata mata kerana cuba menukar channel tanpa meminta izin. Kan dah terkeluar sifat Jikan Pailang dia, tak pasal pasal. Ada nak dekat dua minggu jugalah Faizal Abu Samah muncung merajuk tiap kali bertembung dengan Abdul Jikan.

     Tiba tiba Abdul Jikan perasan sesuatu. Muka Ahmad Azlan nampak murung dan sugul semacam pagi ini. Lah, takkan baru kena basuh sekali dah down, tak perangai brader brader lansung. Mulanya Abdul Jikan malas nak layan, tapi sebab dia ada rancangan nak mengepow rokok Marlboro Light Ahmad Azlan barang sebatang dua sebentar lagi, terpaksalah dia buat buat concern.

"Kenapa aok ni Ahmad Azlan, aok ada problem ka? Cube bagitau koi. Jangan menyimpan sangat, boleh kene batu karang wei," yakin Abdul Jikan cuba bernada loghat Pahang, sebelum dia tersedar Ahmad Azlan bukan budak Pahang pun. Menyesal pula.

"Entah la. Aku pening lah. Kecewa pun ada. Zaman sekarang ni.. korupsi.. haih." jujur suara Ahmad Azlan mengatur kata. Abdul Jikan mengangguk ngangguk sambil jari jemari laju merayap membuka kotak Marlboro di atas meja, mengepow dua batang rokok Ahmad Azlan tanpa muka bersalah. Lagak gaya jejaka metroseksual, dia menyilangkan kaki, menyalakan putung, dan menyedut sedalam dalam trakea yang boleh.

"Hmm.. aku faham Ahmad Azlan. Faham sangat. Percayalah bukan kau seorang risaukan hal ni.Memang! Memang zaman sekarang ini banyak korupsi. Lagi lagi Malaysia ni! Kita ini dah terlalu lama hidup bertuankan pemimpin pemimpin korup. Penat penat rakyat bertungkus lumus bekerja, dari jurutera, sampailah kerani teknikal macam aku ni, semua hasil dibaham mentah mentah oleh mereka ni! Senang senang mereka gunakan kuasa untuk mengaut untung demi kepentingan diri sendiri. Pemimpin pemimpin ni tak sedar, itu semua duit haram. Bila bila masa tuhan yang maha esa boleh tarik rezeki mereka, tak kira pangkat, tak kira harta!" tegas suara Abdul Jikan berkata kata, sekejap macam ahli politik yang berwibawa, sekejap macam peserta imam muda Astro.  Abdul Jikan belum puas bercakap, memang dah lama dia memikirkan hal ini hasil hari hari dia menilik blog blog kepartian di pejabat. Dia meneruskan bicara selepas menghembus asap rokok senafas.

"Aku ni, untuk pengetahuan kau Ahmad Azlan, bukannya risaukan kesan korupsi ini kepada diri aku sangat pun, tapi aku risau memikirkan kesan hal ini kepada generasi masa depan kita, generasi muda! Aku taknak mereka tidak dapat peluang secukupnya, hanya kerana kemewahan dah dibolot penggila penggila kuasa. Bayangkan, tu bini Perdana Menteri kita tu, boleh beli cincin berpuluh juta ringgit, macam mana tu? Takkan lah bukti kukuh dari perisik perisik blog kepartian yang aku baca tu salah? Diorang semua hebat ada network ibarat CIA, setakat korupsi jual beli cincin ni memang senang senang diorang bongkarkan! Aku respek sungguh. Belum kata hal rahsia illuminati tu, memang tak lama la persatuan illuminati tu kalau rancang nak bertapak kat Malaysia, sekejap je ejen ejen blog ni dapat hidu gua cakap lu," rancak Abdul Jikan bersyarah. Sikit je lagi dia nak bukak topik korupsi pasukan pertahanan negara bila Ahmad Azlan tiba tiba mencelah.

"Woi, bangsat ubi. Aku nak cakap pasal korupsi fail kerja Microsoft Word aku. Zaman sekarang banyak sangat virus dalam pendrive, habis file kerja aku corrupted tak boleh bukak. Yang kau membebel tak tentu hala ni apahal? Dah la selamba dek ambil rokok Marlboro Light aku tak minta izin, sungguh bangsat ubi perangai kau ni  Abdul Jikan."

     Abdul Jikan buat buat fokus membaca surat khabar hindu yang sempat dicapainya sebelum beredar slow slow meninggalkan Ahmad Azlan tanpa sepatah kata. Merah padam pipi Abdul Jikan, segan.
















p/s: ni first time aku bercereka kat blog. harap korang suka. tak suka aku kesah apa kehkeh.